I made this widget at MyFlashFetish.com.

klik sini

Sunday, July 3, 2011

Perkhemahan Cuti Pek Pandu Puteri Tunas Daerah Jasin

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Pandu Puteri,

Syukur alhamdulillah, program perkhemahan cuti pek yang dirancang telah dapat dijalankan dengan sempurna pada 24 hingga 26 Jun 2011 bertempat di SK Kesang Tua. Sebanyak 6 buah sekolah di daerah Jasin telah mengambil bahagian iaitu SJK(T) Jasin (8), SK Air Baruk (1), SK Bukit Senggeh (4), SK Kemendor (8), SK Kesang Tua (21) dan SK Tehel (4). SJKC Tiang Dua juga menghantar seorang ahli.

Perkhemahan ini mengkhususkan aktiviti ujian kecekapan iaitu Lencana Pemerhati, Lencana Pemberi Isyarat, Lencana Ahli Rumahtangga, Lencana Tukang Masak, Lencana Pelayan Tetamu, Lencana Penyanyi dan Lencana Pelakon.

Program bermula dengan pendaftaran peserta pada pukul 3 petang, hari Jumaat 24 Jun diikuti dengan aktiviti mendirikan khemah. Selepas Solat Maghrib, para peserta membaca Yassin dan diberikan sedikit tazkirah oleh PJ Daerah sebelum solat Isya. Selepas itu, aktiviti ice-breaking, dan taklimat oleh Kem Komandan, Pn Sarimah Mohd Ghazali, kemudian nyanyian lagu-lagu pandu puteri. Sesi malam pertama berakhir pada jam 11 malam.

Pada hari kedua (pagi), selepas sesi istiadat, program dipenuhi dengan aktiviti ujian yang dijalankan secara berkumpulan (kumpulan berenam) mengikut stesen, manakala pada sebelah petang, selepas ujian Lencana Tukang Masak, para peserta diberikan masa untuk persiapan malam kebudayaan yang juga merupakan ujian Lencana Penyanyi dan Lencana Pelakon. Semua peserta balik ke khemah selepas selesai ujian, taklimat dan minum malam pada pukul 11.30 malam.

Hari terakhir dimulakan dengan sukan ria pandu puteri selepas para peserta bersarapan pagi. Aktiviti ini dibantu oleh beberapa orang ahli pandu puteri renjer dari SMK Datuk Bendahara, SMK Iskandar Syah, SMK Tun Perak dan SMK Jasin. Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bermain 4 jenis permainan yang menarik. Selepas itu, para peserta mengemas khemah dan bersiap-siap untuk upacara penutupan rasmi.

Tepat jam 11 pagi YB En Chua Kheng Hwa telah tiba untuk majlis perasmian penutup. Selain ucapan, majlis penyampaian sijil, hadiah dan cenderamata telah disampaikan oleh YB. Selepas berakhir penutupan rasmi, para peserta membuka khemah dan bersurai.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia Daerah Jasin ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada:
1. YB En Chua Kheng Hwa,
2. JPN dan PPD Jasin,
3. GB SK Kesang Tua,
4. AJK Kerja termasuk guru-guru SKKT bukan pemimpin pandu Puteri,
5. GB sekolah-sekolah yang terlibat,
6. guru-guru pemimpin dan peserta perkhemahan
yang telah sama-sama menjalankan dan menjayakan program yang telah dirancang bagi kepentingan ahli-ahli pandu puteri tunas daerah Jasin. "JASAMU DIKENANG"

Saya berharap kejayaan program ini akan menjadi penggalak kepada banyak lagi program di peringkat daerah yang akan dijalankan pada masa-masa hadapan dan semoga ahli-ahli pandu puteri daerah Jasin akan dapat meningkatkan pencapaian dalam aktiviti pandu puteri sehingga ke peringkat tertinggi suatu hari nanti.

Sekian, terima kasih.