I made this widget at MyFlashFetish.com.

klik sini

Friday, January 28, 2011

PERUTUSAN TAHUN BARU 2011


Perutusan Tahun Baru 2011
KETUA PESURUHJAYA PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA

Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Pandu Puteri
Salam 1 Malaysia

Saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala, kerana dengan izin serta limpah kurniaNya, kita semua warga Persatuan Pandu Puteri Malaysia dapat menyambut Tahun Baru 2011.

Selamat meneruskan kembali tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita dengan penuh kesedaran dan komitmen yang padu. Semoga 2010 yang berlalu akan membuat kita sedar dan bermuhasabah untuk lebih bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab dengan hati terbuka, bersikap jujur dan penuh berintegriti.

Tahun 2010 menyaksikan Persatuan Pandu Puteri Malaysia berjaya mengadakan acara acara penting di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Diantara acara acara penting yang telah berlaku adalah Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2010 pada bulan Februari yang bertemakan 'Bersama kita membasmi kemiskinan dan kebuluran' ( Together we can end extreme hunger and poverty). Majlisnya telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua PPPM YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Bte Mansor di Dewan PPPM, Wisma Pandu Puteri.

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2009-2010 telah diadakan pada bulan Jun 2010 di Hotel Marriott, Putrajaya dan kali ini Persatuan Pandu Puteri Malaysia Kebangsaan menjadi Tuan Rumah. Tema tahun ini ialah ' Pandu Puteri Prihatin Masyarakat' Tema ini ingin memberi kesedaran kepada Ahli Ahli Pandu Puteri khasnya dan masyarakat remaja dan wanita muda amnya, setelah kita didedahkan dengan masalah-masalah pembuangan bayi dan kisah wanita muda yang tertipu setelah diumpan untuk membawa dadah ke luar negara dan kemudian merengkok dalam penjara negara negara asing. Semua pemimpin serta pesuruhjaya PPPM harus tahu betapa pentingnya seorang gadis dan wanita menjaga harga diri dan tidak mudah diperdaya oleh pihak-pihak tertentu.

Pada 23-28 September 2010, dua orang Ahli Jawatankuasa Rantau Asia Pasifik,Puan Febe Marl Paat dan Puan Melanie Bennet telah berada di Malaysia untuk melakukan 'Wagggs -Asia Pacific partnership visit' Lawatan ini ialah untuk meninjau dan menilai PPPM. Diakhir lawatan, laporan yang disediakan oleh wakil wakil Wagggs itu menunjukkan mereka sangat puashati dengan kedudukkan dan prestasi PPPM sebagai Ahli Organisasi Wagggs-Asia Pacific.

Pada 21 November 2010,satu Majlis yang tercatat sebagai peristiwa sejarah PPPM ialah Majlis Anugerah Paduka Srikandi 2010 Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Majlis yang julung-julung kali diadakan adalah untuk menyaksikan Pengurniaan Anugerah Paduka Srikandi kepada 4 orang mantan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, seorang mantan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia sekarang. Semua Ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Bte Mansor, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang , Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj, YABhg Tun (Dr.) Hajah Rahah Binti Tan Sri Mohd. Noah, YABhg Tun Hajah Suhailah Binti Tan Sri Mohd Noah, YABhg Tun Dr. Siti Hasmah Binti Mohd. Ali, dan YABhg Tun Jeanne Abdullah. Anugerah ini diberi diatas segala jasa, dorongan dan bimbingan yang tidak terhingga yang telah di sumbangkan kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Jasa dan sumbangan keenam-enam tokoh ini tidak ternilai harganya dan sukar dinyatakan dalam kata-kata.

Sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya, Acara antarabangsa 'Cabaran Pandu Puteri Tunas Antarabangsa 2010 ( Centenary Brownie Challenge-Malaysia 2010) telah diadakan pada 15-19 Disember 2010 di Kolej Pertama , Universiti Malaya. Kuala Lumpur dengan jayanya. Seramai 500 orang peserta dan pemimpin dari luar dan dalam negeri telah menyertai acara ini.

Tahun 2011 akan bermula seperti tahun tahun yang lalu. Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah menyediakan Perancangan 2011 dengan tersenarainya berbagai-bagai aktiviti dan acara.Diantaranya adalahSambutan Hari Peringatan Sedunia 2011 yang bertemakan 'Gender Equality and Empowering Women', Mesyuarat Agung Tahunan 2011 di Pulau Pinang, Pertandingan Pengucapan Awam 2011 dan pelbagai program yang lain.

Bagi acara Antarabangsa, Malaysia telah dipilih oleh Wagggs Asia Pacific-Arab region ( Rantau Asia Pacific dan Arab) untuk menjadi Tuan Rumah bagi acara '1st Joint Asia Pacific -Arab Region Training of Trainers Workshop 2011 (Bengkel Latihan untuk Jurulatih anjuran bersama Rantau Asia Pasifik dan Rantau Arab). Seramai 150 orang peserta dari 39 negara akan menyertai Bengkel ini pada akhir bulan November 2011 di Kuala Lumpur. Ini adalah satu penghormatan bagi Malaysia dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Bagi acara acara diluar negeri, Pada bulan Januari 2011, PPPM akan menghantar 27 orang ke satu Perkhemahan di Taiwan dan diikuti dengan 4 orang pemimpin muda mewakili PPPM ke Young Womens World Forum 2011 di empat Pusat Dunia (Wagggs World Centre). Pada bulan Julai, satu delegasi PPPM yang mengandungi 6 orang akan menghadiri Persidangan Dunia Wagggs ke 34 di Scotland.

Semoga tahun 2011 merupakan tahun yang lebih baik buat PPPM. Seperti pesanan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dalam satu ucapan beliau, PPPM perlu merangka peranan dan tanggungjawabnya bagi memastikan ia terus popular, relevan, segar dan disegani sebagai sebuah Persatuan yang menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Beliau juga berkata , sesebuah persatuan akan menjadi lebih kukuh dan berkesinambungan apabila memiliki ahli ahli yang dinamis, aktif, kreatif serta produktif.

InsyaAllah kita semua berusaha menjayakannya dan semoga usaha kita akan diberkati Allah. Selamat Tahun Baru 2011 kepada semua ahli ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Sekian, Wassalam.

DATIN SERI HAJJAH ZALILLAH MOHD TAIB
KETUA PESURUHJAYA
PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA

No comments: